Akhirnya pihak berkuasa merasai betapa perlunya Akta Kanak-kanak 2001 dikuatkauasakan. Tindakan tegas ini sudah tentu berdasarkan kepada berberapa kejadian kehilangan dan pembunuhan keatas kanak-kanak yang tidak berdosa.
Namun penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai sekiranya pihak berwajib gagal mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang melanggar undang-undang. Malahan ada pula yang mendakwa bahawa ibu bapa tidak boleh dipersalahkan di atas perlakuan anak-anak mereka atau sesuatu kejadian yang menimpa kanak-kanak di luar pengetahuan ibu bapa.
Bagaimana akta ini perlu dikuatkan bagi memelihara kanak-kanak dan menimbulkan sikap tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anak mereka. Zaman sekarang bukan lagi seperti penulis kecil-kecil dalam tahun 50an dulu. Di kala itu tidak siapa yang mahu menculik kanak-kanak atau membunuh sesiapa tanpa alasan kecuali penganas komunis. Kanak-kanak bebas boleh bermain di mana sahaja. Cuma kanak-kanak bertempiaran lari melihat polis, atau orang berbangsa Sikh atau sesiapa sahaja yang membawa guni.
Kadang-kadang orang itu cuma gembala kambing atau lembu kaum India. Di kala itu cerita tersebar luas mengenai kejadian memotong kepala untuk dibuat persembahan membina jambatan dan sebagainya. Tidak tahulah betul atau tidak, pokoknya cerita-cerita seumpama itu sahajalah yang membuat kanak-kanak tidak berani keluar rumah.
Tetapi di zaman moden dan serba kemewahan ini kejadian mengabaikan dan membahayakan boleh dilihat di mana-mana. Umpamanya kanak-kanak dalam lingkungan 12 tahun telah mula menonggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar. Perkara ini diketahui ibu bapa tetapi mereka tdak memperdulikannya. Terdapat pula bapa yang "makan angin" dengan motosikal membawa isteri dan anak-anak kecil, semuanya tanpa topi keledar. Kanak-kanak kecil dalam lingkungan belum bersekolah tersepit ditengah-tengah ibu dan bapa.
Ada kalanya ibu bapa memakai topi keledar sementara kanak-kanak kecil dibiarkan tanpa memakai apa-apa, Jelas sekali mereka hanya mementingkan diri sendiri dan tidak anak-anak. Sementara yang mempunyai kereta pula sering meletak anak ditempat duduk hadapan tanpa tali pinggang keledar dan ada kala berdiri sambil mengeluarkan tangan melalui tingkap. Ada juga yang meriba anak ketika memandu kononnya sayangkan anak.
Terdapat juga anak-anak yang dibiarkan bermain di bahagian belakang kereta tanpa tali pinggang keledar. Paling teruk, ada ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menjadi mat rempit. Mereka bagaimanapun akan marah dan menyesal apabila anak-anak mereka terlibat dalam kemalangan.
***
Isu utamanya adalah antara suka dengan tidak, ibu bapa mempunyai peranan yang sangat penting bagi memastikan keselamatan anak-anak. Kita perlu mengambil berat setiap apa yang mereka lakukan. Bak kata pepatah melayu "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya" ataupu "nasi sudah menjadi bubur". Bagaimanapun tepuk dada tanya selera. Cuma jangan salahkan takdir bila berlaku kemalangan ke atas keluarga sendiri.
TAHUKAH ANDA DIMANA ANAK-ANAK ANDA BERADA SEKARANG???
No comments:
Post a Comment